Kandungan kimia yang terdapat dalam gaharu merupakan komponen-komponen yang terdiri daripada sesquiterpenes, sesquiter-pene alcohol, kompoun oxygenated dan chromone. Selain itu, ia juga terdiri daripada komponen-komponen agarospiral, jinkohol-eramol, jinkool yang menghasilkan aroma gaharu.
Penggunaan kayu karas dalam industri perkayuaan di mana kayunya digunakan dalam industri pembuatan kotak pembungkus, papan lapis, cenderamata, perabot, kasut wanita, sarung senjata, chopstick dan lain-lain. Manakala kegunaaan gaharu banyak kepada upacara keagamaan Cina, Unanai, Ayurvedic dan upacara kaum di Tibet. Ia digunakan sebagai pengharum rumah di Timur Tengah manakala di Papua New Guinea menggunakannya sebagai ubat-ubatan tradisional oleh masyarakatnya. Di masa sekarang ia turut digunakan sebagai bahan wangian dan kosmetik.
Ciri-Ciri Spesis Aquilaria
NAMA SAINTIFIK | NEGERI / KAWASAN TABURAN SEMULAJADI | CIRI-CIRI |
1. Aquilaria Hirta | Sepanjang Pantai timur, Terengganu, Pahang dan Johor | Pokok Kecil dalam lingkungan 15m tinggi, permukaan bawah daun berbulu, daun berbentukovate oblong. |
2. Aquilaria Beccariana | Kebanyakkan tumbuh di bahagian selatan (Johor) | Pokok sederhana dalam lingkungan 20m, urat kedua daun lebih jelas, daun berwarna kelabu tidak berkilat. |
3. Aquilaria Rostrata | Pahang (G. Tahan), habitat gunung. | Urat kedua daun tidak jelas. |
4. Aquilaria Malaccencis | Terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah & Sarawak kecuali kedah dan perils. | Permukaan daun berkilat, runcing dan bujur |
5. Aquilaria Microcarpa | Johor dan kawasan bakau | Pokok besar dalam lingkungan 36m, buah kecil berbentuk hati. |
PENGURUSAN TANAMAN POKOK KARAS
Pokok Karas sesuai ditanam di antara kawasan dataran rendah hingga ke pergunungan pada ketinggian 0 – 750 meter dari paras laut dengan purata taburan hujan kurang dari 2000cm. Suhu yang sesuai adalah antara 27°C hingga 32°C dengan kadar cahaya matahari sebanyak 70%. Kesesuaian tanah adalah jenis lembut dan liat berpasir dengan pH tanah antara 4.0 hingga 6.0.
Biji benih yang berkualiti amat penting untuk tujuan pembenihan, selalunya pembenihan di lakukan oleh nurseri untuk menjamin bekalan benih tanaman dalam volume yang besar dan berkekalan. Buah karas dari jenis Aquilaria Malaccencis adalah berbentuk kapsul, 3.5 cm hingga 5 cm panjang, ovoid dan berwarna coklat. Kulitnya agak keras dan berbaldu. Mengandungi 3 hingga 4 biji benih bagi setiap buah.
Penanaman boleh dilakukan di tanah-tanah persedirian, tanah terbiar, hutan simpan atau tanah kerajaan negeri melalui permohonan. Ia juga boleh ditanam di ladang kelapa sawit, ladang kopi dan kebun di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5 – 8 tahun. Teknik tanaman secara sistem selang atau intergrasi dengan 2 atau lebih tanaman juga boleh dilakukan. Teknik dari pendekatan Agroforestry, Inter-row planting dan Hedge planting juga boleh dilakukan.
Teknik menanam adalah dengan menggali lubang dalam jarak ukuran 6 kaki x 6 kaki, 10 kaki x 10 kaki, 10 kaki x 15 kaki dan sebagainya. Ia bergantung kepada teknik tanaman secara selang, intergrasi atau sebagainya. Anak pokok dikeluarkan dari politena bag dan dimasukkan ke dalam lubang yang digali dengan keluasan diameter dan kedalaman 0.5 meter. Tanah dipermukaan dipadatkan dengan tangan untuk memastikan akar bersentuhan rapat dengan tanah dan elakkan pengaliran air di permukaan (surface water). Kadar pembajaan tidak boleh melebihi 100 gm bagi tiap-tiap lubang iaitu dengan kadar baja NPK 15:15:15 sebayak 40 – 50 gm dan TSP sebanyak 40 – 50 gm semasa proses penanaman.
Pokok-pokok karas yang ditanam perlu dibersihkan dari gangguan pokok lain sekitar 50 cm untuk mengelakkan persaingan hidup. Kerja –kerja ini dilakukan dalam 2 – 3 kali setahun sehingga pokok berusia 5 tahun. Pengemburan 2 kali setahun adalah amat baik untuk memberi oksigen ke dalam tanah untuk melancarkan penyerapan makanan oleh pokok.
TEKNOLOGI PENGHASILAN GAHARU
Teknik inokulasi merupakan teknik menghasilkan gaharu pada pokok yang berusia 5 tahun ke atas atau diameternya mencapai 8 hingga 10 cm. Keadaan optimal perlu bersesuaian dengan batang dalam sekitar 5 cm. Setiap batang dibuat lubang dengan jarak anatara lubang sekitar 20 cm antara satu sama lain. Lubang disumbat dengan buluh atau poly paip untuk mengelakkan lubang tercantum. Selepas dimasukkan kulat ia ditutup dengan lilin, kayu dan sebagainya untuk mengelakkan air hujan masuk ke dalam lubang. Antara kulat yang digunakan ialah Furasium sp, Phytium sp, Lasiodiplodia sp, Libertela sp, Scytalidium dan Thielaviopsis sp.
Gambar 1 : Proses inokulasi pokok karas
Gambar 2 : Contoh kulat/bakteria yang digunakan dalam inokulasi
INDUSTRI PEMPROSESAN GAHARU
Terbahagi kepada dua;
1. Industri Pemprosesan Kepingan Gaharu.
Teras di dalam pokok akan diambil setelah pokok ditebang dan dipotong mengikut bentuk dan saiz resin yang terjadi. Proses yang dipanggil mencuci biasanya akan dilakukan di rumah atau kilang kerana ia mengambil masa yang agak lama. Ia adalah proses membuang sisa kayu dari resin gaharu sehingga ia bersih dan kering. Gaharu yang siap diproses akan menjadi kepingan dan habuk dan akan digred mengikut saiz, bentuk, warna, bau Gaharu ini akan dijual kepada pekedai atau pengeksport. Kepingan gaharu ini digunakan secara dibakar untuk mendapatkan aromanya.
Kebanyakan kerja-kerja mencari dan mencuci gaharu dilakukan oleh orang asli dan penduduk melayu yang tinggal di pingir-pinggir hutan (Kajian Unit Ekonomi Hutan). Biasanya harga yang ditawarkan oleh peraih agak murah kerana kuasa ekonomi mereka dan dijual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi.
Gambar3 : Kayu gaharu yang siap diproses bersih (mencuci) menjadi kepingan dan sedia untuk dipasarkan.
Gambar 4 : Ketulan gaharu yang bernilai tinggi
2. Industri Memproses Minyak Gaharu
Selain gaharu yang dijual secara kepingan dan abu, ia juga diproses untuk dijadikan minyak. Menurut data dari Jabatan Perhutanan, terdapat 12 buah kilang di semenanjung Malaysia pada tahun 2007. Ia terbahagi kepada industri berskala kecil dan besar. Kebiasaan skala kecil mempunyai kurang dari 10 unit dapur dan diusahakan sendiri. Manakala, pada skala besar meraka mempunyai anatara 10 – 80 dapur dan akan mengupah pekerja seramai 2 – 3 orang atau lebih. Mereka juga memerlukan kayu gaharu sehingga 500 kg sebulan bagi menampung permintaan minyak gaharu.
Gambar 5 : Mesin pengisar kayu gaharu
Gambar 6 : Proses memeram sebelum kayu dimasak
Gambar 6 : Minyak gaharu yang terhasil dari proses penyulingan.
Jadual Gred di Pasaran.
Buat masa ini tiada gred yang seragam dan selalunya berbeza mengikut negeri. Berikut adalah gred yang dikeluarkan oleh JPSM dalam Bengkel Penyeragaman Penggredan Gaharu di Semenanjung Malaysia pada awal bulan Jun 2007 yang lalu di Kuala Lipis Pahang.
GRED | Harga (perkilogram) |
Super A | RM 25,000 ke atas |
Gred A | RM 20,000 |
Gred B | RM 18,000 |
Gred C | RM 15,000 |
Gred D | RM 8,000 |
Gred E | RM 3,000 |
Lain-lain Gred | RM 500 – RM 1,000 |
Gred Kayu untuk Minyak | RM 5 – RM 100 |
Minyak Gaharu | RM 300 – RM 350/ tola (12gm) |
nota :
Segala paparan ini adalah abstrak dari seminar-seminar dan persidangan gaharu. Ia adalah untuk dikongsi bersama-sama saudara dan saudari. Sekiranya ada sebarang info dan cadangan terkini yang boleh dikongsi bersama, emelkan kepada kami di danial_cccc@yahoo.com . Maklumat dan kiriman anda amat dihargai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan